wanita solehah

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita. Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat di pandangan mata si jahil dan ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dicicip oleh wanita solehah.

Wanita solehah yang telah melengkapi dirinya dengan budi pekerti yang luhur dan keimanan yang murni merupakan bunga idaman yang menghiasi taman-taman syurga. Wanita solehah adalah wanita yang mengisi kehidupannya dengan fitrah kebenaran. Jika dia seorang anak, maka ia akan menjadi anak yang solehah. Jika dia seorang isteri, ia akan menjadi isteri yang taat dan menyenangkan hati suami. Jika dia seorang ibu, ia akan mencurahkan sepenuh kasih sayangnya untuk anak-anak. Begitu juga, wanita solehah sebagai hamba Allah, dia akan tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya. Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya :

"Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah." HR Muslim

Wanita Menurut Perspektif Islam

Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi. Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari redha Allah (Mardhatillah). Allah telah berfirman,

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun." An-Nisaa : 124

Rasulullah juga turut menyuruh umatnya supaya memperlakukan wanita sebaik-baiknya sebagaimana sabda baginda yang bermaksud :

"Mereka yang paling sempurna dikalangan mereka yang ikhlas adalah mereka yang mempunyai akhlak yang terbaik dan yang terbaik dikalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." HR At-Tirmidzi

Terdapat perbezaan diantara pembawaan lelaki dan wanita yang tidak boleh dinafikan. Wanita secara fizikalnya lebih lemah dari kamu lelaki, oleh itu mereka tidak dapat melindungi diri merek dengan kekuatan mereka sendiri. Fitrah telah mengurniakan kepada wanita dua ciri iaitu kedegilan dan rasa malu yang merupakan dua senjata ampuh yang digunakan untuk memelihara diri mereka. Nilai sebenar wanita dalam Islam amat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh wanita Barat. Nilai wanita bukan terletak pada fesyen pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.

Wanita menurut perspektif Islam adalah :

Wanita diciptakan sebagai penenteram dan penyenang hati.

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya." Ar Ruum : 21

Wanita sebagai sumber kasih, sayang dan kelembutan.

"Dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang." Ar Ruum : 21

Wanita berperanan melahirkan zuriat dan memberi pendidikan.

"Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis-jenis kamu sendiri dan menjadikan dari isteri- isteri itu, anak-anak dan cucu-cucu." An Nahl : 72

PERIBADI WANITA SOLEHAH

WANITA SOLEHAH SEBAGAI ANAK

Allah SWT telah berfirman yang maksudnya : "Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan beribadah selain kepada-Nya, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu-bapa mu. Jika salah seorang diantara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan jangan kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah : "Ya Rabbi, kasihanilah mereka kedua-duanya, sebagaimana mereka berdua telah menyantuni aku waktu kecil." Al Isra Allah memerintahkan agar manusia berbakti kepada kedua ibu bapa mereka dan mentaati mereka. Bagi wanita ketaatan mereka sebelum mereka berkahwin adalah kepada kedua ibu-bapa mereka dan selepas berkahwin, kepada suami mereka Menyakiti hati kedua mereka adalah merupakan dosa yang amat besar. Ismail Ibnu Umayyah telah berkata :

Seorang lelaki meminta nasihat : "Wahai Rasulullah, berilah aku wasiat." Rasul menjawab "Janganlah engkau menyengutukan Allah dengan sesuatupun, sekalipun engkau dibakar atau dibelah dua." Ia berkata "Wahai Rasulullah, tambahkanlah." Rasulullah menjaab, "Berbaktilah kepada kedua ibu-bapamu, jangan sekal-kali engkau meninggikan suara di hadapannya. Jika keduanya memerintahkan engkau untuk mengeluarkan hartamu, maka keluarkanlah bagi keduanya." Lelaki itu meminta kembali : "Wahai Rasulullah, tambah lagi selain itu." Rasulullah menjawab, "Jangan engkau meminum khamar (arak), sebab khamar itu adalah kunci segala kejahatan." Lelaki itu meminta kembali, "Wahai Rasulullah, tambahkanlah untukku selain itu." Rasulullah saw menjawab, "Didiklah keluargamu dan berilah mereka nafkah sesuai dengan kemampuanmu, dan janganlah engkau mengangkat tongkat (lisan)mu namun berbuatlah agar mereka takut kepada Allah." HR Imam Ibnu Majah.

Adab anak terhadap kedua ibu-bapanya.

Berbuat baik dan berlemah lembut terhadap mereka. Mentaati perintah kedua mereka selagi tidak bertentangan dengan perintah Allah. Melihat wajah mereka dengan kasih sayang merupakan ibadah. Mendoakan mereka berdua dengan doa yang baik. Menjaga hati mereka berdua dan menggembirakan mereka. Menjalinkan silaturrahim dengan sahabat-sahabat mereka. Menziarahi kubur ibu-bapa jika mereka telah meninggal dunia.

From :

Ukhtie Asniza's Hpage

Syahidah Abu Bakar.

Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja...

-Luqmanul Hakim-





Make your own free website on Tripod.com